Sejarah KRS


SEJARAH PENUBUHAN KADET REMAJA SEKOLAH ( KRS )

Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh En. Muhammad Thani Bin Sha’aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong , Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987 Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar sahaja iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan I dan 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU, BERIMAN, DAN BERAMAL , berakhlak mulia , bersemangat patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah Wawasan 2020.

Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan . Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN (AD DEEN). Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM. Di antaranya ialah Sek. Men. Tmn Tun Dr Ismail di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Farazilla Bin Abdul Ghani , Sek. Men Seri Titiwangsa di bawah pimpinan En. Anuar Bin Abd Aziz dan Sek. Men. Agama Ma’ahad Hamidiah , Kajang , Selangor di bawah pimpinan En. Abu Hassan Bin Morad. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM.

Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di dalam pertemuan ini tesis mengenai KPIM telah dibentangkan. Hasilnya, sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet . Jawatankuasa ini mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA – PUTERI ISLAM ( KPIM ) . Walau bagaimanapun nama pasukan ini kemudiannya ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS)


SEJARAH PENUBUHAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH ( TKRS )

Barisan Sekretariat Kebangsaan. Dari Kanan;
Lt. Kol. Anuar, Lt. Kol. Ahmad Farazilla, Lt. Kol. Wan Mohd
Ariffn Bin Wan Hussin dan Lt. Kol. Ali

Tunas Kadet Remaja Sekolah ( TKRS ) telah mula diasaskan pada 15 Mac 1999. Sekolah yang menjadi sekolah pertama (perintis ) menubuhkan TKRS ialah Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kuala Lumpur yang sekarang ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Setapak Indah. Tunas Kadet Remaja Sekolah ditubuhkan oleh En. Wan Mohd. Ariffin bin Wan Hussin khas untuk murid-murid sekolah rendah seperti mana Kadet Remaja Sekolah untuk pelajar-pelajar sekolah menengah sahaja. Antara tujuan TKRS ditubuhkan adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar mengenai KRS. Ini kerana TKRS merupakan KRS di peringkat awal ( sekolah rendah ). Kurikulum, matlamat dan objektif serta perjuangan TKRS adalah berdasarkan Kadet Remaja Sekolah ( KRS ).

Pada awal penubuhan, pasukan ini dinamakan Tunas Kadet Remaja Islam Sekolah ( TKRIS ). Dewasa ini TKRIS dikenali dengan nama Tunas Kadet Remaja Sekolah. Penubuhan Tunas Kadet Remaja Sekolah secara rasminya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Noh b. Omar di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah Darul Aman pada 26 Mac 2006.

4 comments: